Saturday, October 7, 2017

KP SPRM diserang kerana ajak rakyat lawan rasuah?


Kerana 'gerah', Dzulkifli `diserang’

 KOMENTAR ZUL BAKAR

 SALAH satu langkah yang diperkenalkan oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebaik sahaja mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setahun lalu ialah memperkenalkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah).

 Mengikut kamus bahasa Indonesia, Gerah bermaksud berasa panas badan atau merasa tidak tenang kerana ada sesuatu yang mengganggu. Kalau mahu dilihat dari sudut tindakan SPRM dan ketegasan Dzulkifli setakat ini sememangnya ramai berada dalam keadaan `kegerahan’.

  Oleh itu tidak hairanlah sejak kebelakangan ini, SPRM mula `diserang’ dan sudah tentulah sasaran serangan `ditujukan khas’ kepada Dzulkifli melalui `pembunuhan karakter’.

 Taktik kotor dan jijik tersebut digunakan dengan harapan mewujudkan kesangsian atau persepsi dalam kalangan rakyat terhadap peribadi dan kredibiliti Dzulkifli.

 Perbuatan jahat itu dilakukan kerana mereka semakin `kegerahan’ berikutan tindakan agresif Dzulkifli yang memastikan SPRM bertindak tanpa memilih bulu. Tidak kira ahli politik pemerintah mahupun pembangkang, semuanya tidak akan terlepas jika terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

 Begitulah juga tindakan ke atas anggota penguat kuasa dan `orang tengah’ mereka seperti mana dalam kes judi haram di Melaka pada Mei lalu.

 Sehubungan itu, walaupun sokongan rakyat terhadap SPRM semakin meningkat, namun ada pihak sudah melihat Dzulkifli sebagai `satu ancaman’ kerana beliau dianggap tidak boleh dikawal dan bebas dalam bertindak.



 Tambahan pula Dzulkifli juga amat tegas dalam mempertahankan SPRM sehingga sanggup secara lantang mengkritik penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

 Tidak cukup dengan itu, Dzulkifli turut mencetuskan `kegerahan’ kepada kelompok yang bersekongkol dengan kegiatan judi haram apabila mengumumkan akan menggempur aktiviti tersebut kerana jenayah itu berlaku berpunca daripada sindiket sudah menguasai sesetengah anggota agensi penguat kuasa.

  Ketegasan dalam bertindak dan kelantangan dalam mempertahankan SPRM telah memungkinkan Dzulkifli mula dijadikan sasaran untuk dijatuhkan.

 Melalui misi `pembunuhan karakter’, mereka mahu Ketua Pesuruhjaya berusia 49 tahun itu berundur dan menyerah kalah sekali gus memastikan perbuatan jahat serta kegiatan haram mereka tidak terus diganggu.

  Mereka berasa `gerah’ kerana Dzulkifli cukup berani dalam bertindak bagi menggugat kepentingan mereka yang mungkin selama ini dianggap `selamat’.

  Bagaimanapun setakat ini, Dzulkilfi tidak berasa `gerah’ dengan serangan yang dilakukan kerana ia adalah adat  dalam perjuangan, sebaliknya seperti mana ditegaskan oleh beliau dalam wawancara dengan penulis baru-baru ini, ``….Jika menerima maklumat dan menghidu sebarang perilaku rasuah dan salah guna kuasa, percayalah kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dan merentap keamanan mereka yang terlibat dengan jenayah terkutuk itu.’’

 Adalah lebih baik jika mereka yang melakukan `serangan’ ke atas Dzulkifli menghentikan kerja-kerja bodoh tersebut. Tidak payahlah menggunakan taktik, strategi atau propaganda politik untuk menyerang penjawat awam seperti Dzulkifli.

 Beliau dan SPRM bukan ahli politik. Mereka tidak tahu  bermain politik. Mereka hanya melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada agensi itu bagi memastikan rasuah dan salah guna kuasa tidak bermaharajalela.

 Fakta dibentangkan oleh Dzulkifli pada 1 Oktober lalu membuktikan bagaimana selama ini jenayah itu cukup hebat berlaku. Bayangkan dalam tempoh setahun lalu RM334.53 juta harta disita berbanding RM55.02 juta sebelumnya. Tangkapan dan kes dibawa ke mahkamah juga meningkat.

 Prestasi inilah menyebabkan pihak-pihak yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan tidak dapat tidur lena kerana `kegerahan’ melihat ketegasan SPRM di bawah Dzulkifli.

 Oleh itu mereka berpendapat sesuatu perlu dilakukan bagi merencatkan langkah beliau dan cara terbaik tetapi amat jahil ialah melalui `pembunuhan karakter’.

 Agenda jahat tersebut tidak boleh dibiarkan berjaya kerana ia akan memusnahkan impian serta harapan rakyat yang kini begitu menyanjungi ketegasan SPRM.

 Rakyat mahu negara dibersihkan daripada penjawat awam, ahli politik mahupun penguat kuasa yang sanggup menjual maruah serta menggadaikan amanah yang diberikan semata-mata mahu hidup mewah.

 Dzulkifli dan SPRM tidak harus dilemahkan melalui fitnah dan tohmahan. Jika itu berlaku maka bergembiralah pengkhianat-pengkhianat amanah  dan sekutu mereka.

 Kita sama sekali tidak boleh membenarkan peristiwa Singapura dilanda todak dan kejatuhan kerajaan Melaka akibat fitnah Si Kitul terhadap Memanda Bendahara berulang.

 Oleh itu kalau benarlah mana-mana pihak mendabik dada berjuang untuk rakyat, maka bersama-samalah SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta jangan sesekali cuba menyeret agensi itu dalam kancah polemik dan propaganda politik.

 Kepada Dzukifli, anggaplah `serangan’ yang ditujukan kepada beliau adalah ujian daripada Allah SWT dalam perjuangan suci bersama pegawai dan anggota SPRM membebaskan negara ini daripada gejala rasuah.

 Biarlah kelompok yang berniat jahat itu dengan agenda mereka. Teruskanlah perjuangan kerana bak kata beliau dalam puisinya bertajuk `Demi Allah Akan Ku Jaga Maruah ini’;

"Mataku tak mampu kau butakan, telingaku tak boleh kau tulikan, tanganku sukar untuk kau kunci ke belakang, lidahku tak mampu kau diamkan kerana aku ada Allah yang teratas daripada teratas, berkuasa daripada yang berkuasa.’’

Utusan Malaysia




0 comments:

fda

Archives